Kita hanya mampu merancang...

Mon Jan 23 2012 12:46:29 GMT+0800 (Malaysia Time)

Assalamualaikum, salam 1 Malaysia.

Beberapa hari yang lalu sangat benar-benar mencabar bagi pihak kami (Ct3-fansubs) khasnya, dan kepada seluruh dunia Fansubs secara amnya. Dasar seperti SOPA (Stop Online Piracy Act) dan PIPA (PROTECT IP Act) telah mengejutkan budaya biasa kami di Ct3-fansubs, iaitu untuk berkongsi minat tentang Tokusatsu (Kamen Rider) dan Anime kepada masyarakat di Malaysia.

Beberapa hari yang lalu, laman file hosting yang kami biasa gunakan, Megaupload telah ditutup sepenuhnya oleh FBI. Alasan penutupan tersebut ialah kerana pemiliknya, Kim Dotcom telah mengaut untung yang banyak dengan menggunakan bahan-bahan yang mempunyai akta hak cipta. Pengasas dan pemilik Megaupload tersebut telah ditangkap bersama orang-orang kanannya atas sebab-sebab tersebut.

Kami juga baru dapat tahu yang file-hosting lain seperti FileSonic juga telah mengubah polisi mereka berkenaan file-sharing kerana risau turut menerima nasib yang sama seperti Megaupload.

Kami masih cuba mencari penyelesaian mudah untuk meneruskan tanggungjawab kami di Ct3-fansubs. Antara cara perkongsian fail lain yang dapat kami fikirkan buat masa ini ialah dengan IRC channel, dan juga Torrent - namun kedua-duanya memerlukan komitmen masa, yang memaksa kami untuk sentiasa dalam talian (online) untuk menjadi server/seeder kepada fail-fail keluaran kami.

Jika kami masih tidak menemui cara lain, dukacitanya dimaklumkan yang Ct3-fansubs ada kebarangkalian untuk ditutup. Admin (h3nshin) sudah 5 tahun menempuhi suka duka arena fansubbing dan ini mungkin masa yang sesuai untuk menghentikan komitmen kepada pensarikataan, dan lebih kepada kehidupan.

Kami akan memaklumkan perkembangan kami dalam masa yang terdekat.

 

Peminat Tokusatsu seluruh Malaysia, ia 5 tahun yang berharga bagi saya selama-lamanya.

Sekian, terima kasih - Assalamualaikum.